1Akses
  • Bahasa Lain

greenbluered



Makro EIA

PENILAIAN MAKRO KESAN KEPADA ALAM SEKELILING DI DALAM AKTIVITI PENGUSAHASILAN HUTAN DI NEGERI TERENGGANU

Negeri Terengganu terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah utara, Negeri Pahang di bahagian barat dan selatan. Keluasan Negeri Terengganu adalah 1,295,566 hektar (maklumat hutan pada 31 Disember 2008) dan dari keluasan ini seluas 544,118 hektar merupakan kawasan hutan simpanan kekal (HSK). Kawasan HSK dikelaskan kepada beberapa pengkelasan mengikut maksud penggunaan tanah (Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara, 1984). Salah satu daripada pengkelasan tersebut adalah  hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan. Keluasan kawasan ini adalah seluas 366,442 hektar dan selebihnya merupakan kawasan yang dikelaskan sebagai hutan perlindungan.

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) adalah komited dalam melaksanakan sistem pengurusan hutan secara berkekalan berlandaskan amalan-amalan, garispanduan, peraturan dan pematuhan kepada kehendak pensijilan pengurusan hutan secara berkekalan (MC&I dan MS ISO). Di atas kesedaran, tanggungjawab dan keperluan ini JPNT telah melaksanakan penilaian makro kesan kepada alam sekeliling bagi operasi pembalakan yang dilesenkan di dalam kawasan hutan simpanan kekal bagi kawasan hutan yang dikelaskan sebagai hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan.

Penilaian kesan kepada alam sekeliling ini telah dilaksanakan berdasarkan ‘Environmental Impact Assessments Guidelines for Forestry, 1998’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama dari Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia. Ianya mencakupi kajian kemungkinan kesan kepada alam sekeliling, pelan pengurusan alam sekitar dan cadangan mitigasi sebelum, semasa dan selepas operasi pembalakan. Bagi tujuan ini kajian telah di laksanakan di kompartmen 22, 4, dan 19 Hutan Simpan Bukit Kesing (Terengganu Utara), kompartmen 28, 29 dan 35 hutan Simpan Hulu Terengganu, kompartmen 111 Hutan Simpan Tembat (Terengganu Barat), kompartmen 70, 71 dan 58 Hutan Simpan Pasir Raja (Terengganu Selatan).

Di antara hasil penemuan dari kajian yang dilaksa nakan, impak kepada alam sekeliling adalah seperti berikut:

  1. Kerosakan hutan kesan dari pembinaan jalan hutan.
  2. Kesan kepada sosial ekonomi.
  3. Kehilangan spesis pokok tertentu di dalam sesuatu kawasan.
  4. Hakisan dan pemendapan tanah ke dalam sungai.
  5. Pembukaan silara pokok.
  6. Perubahan taburan spesis.
  7. Perubahan komposisi biomas lapisan atas tanah.
  8. Perubahan dan gangguan kepada habitat hidupan liar.
  9. Kerosakan dan kehilangan pokok-pokok sumber makanan kepada hidupan liar
  10. Kualiti air.
  11. Perubahan mikro iklim (perubahan pencahayaan, suhu, kelembapan, radiasi dan bunyi)
  12. Kesan kepada penduduk dan kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat setempat.
  13. Kesan kepada spesis pokok unik atau endermik.

Cadangan Mitigasi dan Pelan Pengurusan Alam Sekeliling bagi meminimumkan kesan kepada alam sekiling adalah seperti berikut:

  1. Penyediaan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH).
  2. Memenuhi kehendak Garispanduan Spesifikasi Jalan Hutan, 1999.
  3. Memeta keluar dari kawasan kerja bagi kawasan-kawasan sumber air masyarakat, kawasan berkepentingan kepada masyarakat setempat dan lain-lain kawasan yang memerlukan perlindungan.
  4. Memenuhi kehendak garis panduan Pembalakan Berimpak Rendah (RIL), 2003.
  5. Melaksanakan tebangan mengikut Had Batas Tebangan.
  6. Kawalan sempadan kawasan kerja.
  7. Melindungi pokok-pokok yang mempunyai kepentingan kepada hidupan liar.
  8. Tidak beroperasi semasa musim hujan.
  9. Memenuhi kehendak jabatan dalam operasi di kawasan tanah tinggi dan sungai.
  10. Membuat sempadan yang jelas bagi kawasan-kawasan yang tidak boleh dibalak.
  11. Membuat zon penampan yang mencukupi bagi kawalan hakisan dan pemendapan tanah ke dalam sungai.
  12. Membuat sistem perparitan yang mecukupi.
  13. Menjalankan penyelenggaraan berdasarkan keperluan spesifikasi jalan hutan.
  14. Membuat penyeliaan penyimpanan dan penggunaan bahan kimia, bahan api dan minyak.
  15. Meminimumkan pembinaan lorong tuju dan lorong penarik.
  16. Mengadakan penguatkuasaan pematuhan.

Penyediaan laporan ini melengkapkan lagi jabatan dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di samping memenuhi kehendak Dasar Alam Sekitar Negara untuk memenuhi kemajuan sosial dan ekonomi, kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan secara lestari.