Pada 21 Mac 2023, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dengan anjuran bersama Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah meraikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2023 di Muzium Negeri Terengganu dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Pelbagai program telah diadakan untuk memeriahkan sambutan iaitu Program Penanaman Pokok, Forestry Hiking Day dan Pameran Perhutanan Negeri Terengganu.
Tema Sambutan 2023 ialah Hutan & Kesihatan “Forest & Health”. Tema ini menekankan kepentingan hutan untuk kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Ini merangkumi fungsi dan perkhidmatan hutan terutamanya dalam mempertingkatkan ekosistem biodiversiti, perkhidmatan rekreasi dan manfaat kesihatan mental, sumber produk perubatan yang berasal dari hutan dan benteng kawalan perebakan penyakit. Hutan memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem alam. Hutan menyediakan pelbagai keperluan perkhidmatan seperti air dan udara bersih. Maka, tema ini dipilih sebagai tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa bagi tahun 2023 oleh Food and Agriculture Organization (FAO) dan tertepatan dengan kehendak dan aspirasi rakyat terhadap peranan hutan serta kepentingannya.
Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pejabat Penerangan Terengganu, Unit Penerangan Darul Iman, Media serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2023.





